Selasa, 22 April 2008

Surat Pembaca yang bernas dr Hrakahdaily

Utamakan orang ramai daripada kereta
SM Mohamed Idris
Mon | Apr 21, 08 | 9:02:54 pm MYT

Dilaporkan bahawa Jambatan Kedua Pulau Pinang yang dirancang akan menelan kos RM4.3 bilion. Ini merupakan satu jumlah wang yang besar malah apabila kita mempertimbangkan bahawa Jambatan Kedua bukanlah apa yang dikehendaki oleh penduduk Pulau Pinang.

Sebuah lagi jambatan hanya akan menambahkan kesesakan lalu lintas terhadap jalan raya di Pulau Pinang yang sudah sedia sesak dengan kereta. Adalah dikatakan bahawa kerja-kerja melebarkan Jambatan Pulau Pinang yang sedang berjalan itu tidak memadai memandangkan jambatan itu akan menjadi sesak kembali dalam beberapa tahun.

Jika demikian, logik yang sama boleh dipakai kepada Jambatan Kedua, yang juga akan menjadi sesak jika aliran yang sama berlaku. Pada ketika itu, apakah penyelesaian yang akan dilakukan oleh pihak berkuasa yang berkenaan � membina satu lagi jambatan sementara itu penduduk Pulau Pinang terus berdepan dengan kesesakan lalu lintas?

Terdapat pilihan yang lebih baik daripada membina Jambatan Kedua. Salah satu daripadanya adalah mempertingkatkan perkhidmatan feri. Untuk tujuan ini, lebih banyak feri diperlukan, dan lebih banyak pangkalan feri dibina di beberapa kawasan strategik di bahagian pulau dan Seberang Perai. Perkhidmatan bas yang mencukupi juga perlu diadakan untuk membawa penumpang dari pangkalan dan ke bahagian lain.

Jika hubungan ketiga diperlukan antara Pulau Pinang dan Seberang Perai diperlukan, maka ia sewajarnya dihubungkan dengan Transit Aliran Ringan (LRT), yang boleh memuatkan lebih ramai penumpang berbanding kereta persendirian yang menyebabkan kesesakan. Seperti juga dengan perkhidmatan feri, bas dan LRT dapat memberikan perkhidmatan antara pulau dan Seberang Perai.

Paling penting, tumpuan mestilah diberikan untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang. Ini lebih efisien, menjimatkan kos dan memelihara alam sekitar dalam usaha untuk membawa penumpang dari bahagian A ke bahagian B, terutama sekali dalam masa harga minyak yang mahal dan pemanasan global.

Sehubungan itu, RM4.3 bilion atau sebahagian daripadanya boleh digunakan untuk membiayai rangkaian pengangkutan yang lebih berkualiti yang memberikan perkhidmatan yang lebih efisien kepada penduduk Pulau Pinang.

Ia mungkin tidak sehebat Jambatan Kedua yang menjadi mercu tanda baru tetapi ia lebih mesra pengguna dan sudah tentu perkara inilah yang paling dikehendaki oleh penduduk. - lanh

Penulis adalah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Tiada ulasan: