Ahad, 19 Ogos 2007

Angan-angan atau realiti?



DATUK HUSAM MUSA.

MINGGUAN: Ramai kalangan pimpinan UMNO yang menganggap kenyataan Datuk berhubung fokus Pas untuk memenangi 40 kerusi tidak ubah angan-angan Mat Jenin dan cuba menutup kebimbangan sendiri. Apakah asas keyakinan Datuk?

HUSAM: Pada tahun 2004, rakyat berasa euphoria, sebab terlalu lama berada di bawah pemerintahan seorang Perdana Menteri (PM) dan dalam tempoh 22 tahun itu, banyak berlaku konflik. Maka perasaan untuk meraikan perubahan itu wujud di kalangan rakyat dan membuatkan mereka memberi mandat terbesar kepada BN dengan keyakinan untuk menjayakan beberapa perubahan pentadbiran ke arah kebaikan rakyat.

Ini diikuti satu pengharapan yang sangat tinggi dan dalam masa yang sama PM membawa impian yang sangat besar termasuk janji-janji membaiki perjalanan pentadbiran negara, menghapuskan rasuah, pembaziran dan penyelewengan yang semua ini memberi faedah terbanyak kepada rakyat.

Jadi apa yang Datuk harapkan?

HUSAM: Termasuk dalam fikiran saya, tersirat satu harapan dalam sebahagian rakyat bahawa Perdana Menteri, Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) mampu menyatukan dan membela orang Melayu.

Namun mandat besar membawa rasa selesa kepada kerajaan, pemimpin di semua peringkat. Apa yang dijanji tidak dilaksanakan. Contoh ketidaksamaan antara apa yang dijanji dengan apa yang dilaksanakan, kerajaan beri kenaikan gaji kepada kakitangan awam tetapi kemudian diumumkan VSS, wilayah pembangunan Iskandar yang meresahkan orang Melayu apabila dihadkan pemegangan aset dan tanah mula dijual kepada pihak Singapura.

Koridor Utara (NCER) hanya akan melebarkan jurang antara negeri apabila projek infrastruktur yang besar dibina di Pulau Pinang tetapi petani-petani Melayu hanya dijanjikan perkara yang subjektif seperti peningkatan hasil padi dan tiada penyelesaian tentang kedudukan orang Melayu di Pulau Pinang.

Peningkatan gejala jenayah semakin membimbangkan sedangkan dua tahun setengah yang lalu ditubuhkan suruhanjaya yang memberi harapan kepada rakyat untuk melihat pasukan polis yang lebih baik.

Jadi Pas mengharapkan rakyat merasakan kuasa yang terlalu besar dengan kerusi yang banyak tidak menguntungkan lalu beralih sokongan kepada Pas?

HUSAM: Untuk menjadi pemerintah yang baik parti kerajaan tidak perlu undi yang terlalu banyak. Perlu ada check n balance yang lebih menyedarkan parti pemerintah dan kerajaan supaya bekerja lebih kuat dan hasrat rakyat dapat dilaksanakan.

Tetapi semakin jelas keadaan berlaku sebaliknya. Segala kepincangan hanya dapat dilaporkan di dalam blog. Lihat juga amalan Islam dan agama Islam semakin kencang dipersoalkan dan kerajaan tidak menunjukkan pendirian yang jelas dan tegas.

Di atas kepincangan yang digambarkan, mengapa Pas dan pembangkang tidak membayangkan kejayaan yang lebih besar, masih pada tahap pinggiran dan tidak untuk menguasai pemerintahan.

HUSAM: Fokus kepada 40 kerusi saya ibaratkan sebagai pendekatan yang merendah diri. Jika rakyat kata tidak cukup dan ahli kata mesti lebih, maka dia (rakyat) kena tingkatkan gerak kerja pilihan raya.

Sudah tentu Pas sendiri akan bertanding lebih daripada 40 kerusi. Cuma tumpuan diberikan kepada 40 kerusi. Dalam teori pengurusan, tumpuan boleh memberikan kemenangan.

Kedua saya tidak ulas persiapan parti lain. Saya hanya lihat skop parti saya, dan terserah jika rakyat nak beri lebih.

Apa ramuannya untuk menang kali ini bagi kerusi-kerusi sasaran?

HUSAM: Satunya pemilihan calon yang boleh memenuhi misi membawa pembaharuan pentadbiran iaitu calon yang boleh membawa suara rakyat dengan berkesan sebab itu mereka mestilah calon yang dekat dengan rakyat dan mempunyai kemampuan membawa suara tersebut.

Kedua, calon mesti ada kemampuan fikrah Islamiah yang syumul supaya kita boleh beri pendirian terhadap isu yang berlaku dalam kerajaan secara pandangan Islam yang kontemporari iaitu praktikal dan semasa.

Ketiga, mereka mesti mampu memberikan idea-idea yang baru. Persaingan kita dengan BN ialah persaingan idea, kita nak beri satu pembaharuan pentadbiran.

Maka sesetengah pihak merasakan ini satu gimik tetapi jika lihat balik statistik, ‘swing’ atau pusingan peralihan 15 peratus undi boleh berlaku. Sama ada sebahagian secara semula jadi atau sebahagian lagi berdasarkan pendekatan parti pembangkang. Dengan ‘swing’ 15 peratus pengundi BN, 40 kerusi bukan angan-angan.

Realitinya pada 1999 bila berlaku krisis di dalam UMNO, Pas hanya mampu memenangi 27 kerusi di Dewan Rakyat sedangkan sekarang tidak ada krisis. Bagaimana sasaran 40 kerusi mampu dicapai?

HUSAM: Saya rasa jika dikatakan kejayaan pembangkang hanya berdasarkan krisis parti lawan tidak terpakai sepenuhnya pada pilihan raya 1999. Membuktikan tidak semestinya hanya krisis, pencapaian pembangkang boleh melonjak naik.

Jika prestasi kerajaan lembap dan hilang hala tuju satu pengubahsuaian undi boleh berlaku. Dalam keadaan sekarang, kita ada mekanisme yang berada di luar kawalan kerajaan BN seperti Internet ( blog). Ini sumber maklumat baru untuk kita cuba keberkesanannya.

Sejauh mana pula persediaan Pas dalam mengatur barisan calon dan hubungan dengan parti pembangkang lain agar tidak bertembung?

HUSAM: Di beberapa negeri, banyak pembahagian kerusi telah selesai. Di Pahang, 90 peratus selesai bahkan diwujudkan jawatankuasa bersama PKR di bahagian dan mula bergerak. Di Perlis tak ada masalah begitu juga Terengganu. Alhamdulillah Pas telah panggil enam negeri berhubung persiapan pilihan raya iaitu Terengganu, Kedah, Perak, Perlis dan Selangor. Umumnya tidak banyak masalah berbangkit

Dalam konteks Kedah umpamanya BN tidak ada satu tokoh di peringkat Pusat. Pada awal dahulu Kedah ada Tunku Abdul Rahman Putra dan Tan Sri Mohamad Khir Johari disusuli Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ini membantu BN mengekalkan kekuasaan di Kedah

Jadi jika Pas ada pendekatan tepat yang boleh dilaksanakan dalam konteks Kedah, perubahan boleh berlaku. Di Terengganu kita percaya ada sumber lain yang membantu sebelum ini.

Jadi dengan adanya kaedah celup jari (semasa mengundi) saya rasa setengah daripada strategi BN di Terengganu dapat dipatahkan. Dan keadaan di Terengganu akan kembali normal dengan undi rakyat sebenar yang bakal menentukan kemenangan BN.

Macam mana dengan DAP pula?

HUSAM: Ini pendapat peribadi saya... tak semestinya mengharapkan DAP semata-mata sebagai rakan, tetapi jika suatu masa Gerakan misalnya berminat dengan kita, kita tidak ada masalah. Jadi sekarang, kita hanya fokus pada medan kita. Medan orang, kita tak nak campur.

Datuk yakin pengundi bukan Melayu akan memberi undi lebih besar?

HUSAM: Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi. Tetapi suara untuk bawa perubahan demi kebaikan negara harus dikongsi bersama.

Perbezaan antara Pas dan BN semakin mengecil, sukar nak dibezakan dari segi kepimpinan dan melalui pendekatan. Mengapa Pas yang menganggap politik sebagai dakwah tidak boleh bergabung bersama UMNO bagi mengukuhkan agama dan bangsa?

HUSAM: Saya sebut masa Pak Lah mula-mula naik, orang Melayu menganggap beliau adalah ikon penyatuan Melayu yang salah satu ukurannya ialah layanan kerajaan pusat kepada Kelantan kerana Kelantan asasnya adalah Melayu.

Kalau kerajaan Pusat datang dalam cara untuk menawan Kelantan ‘by hook or by crooke’ ini berlawanan dengan aspirasi rakyat sebelum ini. Jadi setakat hari ini orang Melayu tidak ada usaha kukuh untuk agenda orang Melayu.

Saya ambil contoh dadah, HIV dan AIDS. Dadah boleh membuatkan orang Melayu pupus. Ini isu dadah, ia soal moral. Jika tidak ada agenda terhadap dadah ini, ia akan menghapuskan masa depan orang Melayu. Jadi agenda Melayu bukan bermakna hanya Pas dan UMNO bersatu tetapi meliputi agenda yang lebih besar.

Pas takut tenggelam dalam gabungan itu sedangkan ia dikatakan mempunyai ramai cerdik pandai?

HUSAM: Pada pendapat saya, isu ini ialah satu perangkap untuk menyekat kemaraan Pas seakan-akan Pas perlu bergabung dengan UMNO sebagai agenda Melayu. Ia selalu ditonjol semasa pilihan raya.

Bagi saya, jika kita ada pasukan ahli Parlimen yang kuat, kita boleh beri sumbangan yang banyak kepada kebaikan orang Melayu dan negara keseluruhan.

Datuk gambarkan kekuatan Pas semakin memuncak tetapi sejarah pilihan raya di Kelantan sendiri menunjukkan ia hampir tumbang. Tidakkah sebenarnya wujud kebimbangan ketara bahawa Pas akan kehilangan kuasa di negeri ini?

HUSAM: kita ada kebimbangan dan harapan. Kita kena sentiasa bimbang, dan kebimbangan ini membuatkan kita bekerja lebih kuat dengan berusaha memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat melalui idea-idea baru.

Alhamdulillah Kelantan mendahului perubahan-perubahan dan hari ini pelbagai pihak melancarkan skim perlindungan insurans mereka hingga akhirnya UMNO negeri ini juga melaksanakan skim takaful mereka.

Kita ada beberapa cadangan lagi, antaranya memberi cuti prabersalin iaitu 15 atau 10 hari sebelum kelahiran kerana apabila semakin sarat, mereka semakin kurang berkeupayaan. Selain itu kita nak beri peruntukan di hospital bagi disalurkan kepada ahli keluarga pesakit yang miskin sebagai sara hidup sementara menanti pesakit di hospital dan pemberian subsidi gas memasak kepada rakyat bagi mengurangkan kos hidup.

Datuk dilihat seorang yang bakal pengganti Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar jika Pas terus berkuasa, tetapi ramai yang berpendapat tanpa beliau, kesatuan dalam Pas negeri ini akan terburai.

HUSAM: Saya meletakkan kedudukan saya ditentukan oleh parti, walaupun saya ada hasrat untuk bertanding di luar Kelantan seperti di Putrajaya atau di Wangsa Maju. Saya nak bawa apa yang saya mampu tegur kerajaan dan idea-idea di peringkat Dewan Rakyat. Tetapi kalau parti kata, saya bertanding Parlimen atau tak payah bertanding, saya tidak ada masalah. Saya cari kepuasan kerja tanpa mengharapkan imbalan.

Ada pihak menggambarkan sudah mula berlaku perpecahan dalam Pas Kelantan dan akan serius selepas ketiadaan Nik Aziz dalam kepimpinan.

HUSAM: Saya sedikit pun tidak terganggu dengan spekulasi macam itu. Tidak perlu kita peduli pada spekulasi seperti itu. Dalam parti mana pun termasuk Pas, parti mesti berjalan terus biarpun pemimpin pergi. Dalam Islam, kita mesti terus berjuang selagi hidup.

Tiada ulasan: